Jalan perhubungan Manir

Secara geografinya, kawasan Manir terletak di sepanjang aliran Sungai Terengganu sehingga 14km ke timur, hingga ke sempadan pekan Telemong. Disebabkan itu, penggunaan sungai adalah amat penting pada ketika dahulu. Terdapat banyak pengkalan dibina oleh penduduk tempatan bagi membolehkan perahu yang mudik sungai terengganu singgah.

Sekarang, laluan sungai mula beransur-ansur hilang popularitinya disebabkan keadaan jalan raya yang baik dan semakin ramai penduduk memiliki kenderaan. Bagaimanapun, kesan kepentingan sungai terhadap penduduk masa lalu masih boleh dilihat pada hari ini, seperti Balai Polis Manir yang unik, terletak di tepi sungai dan memiliki pengkalannya sendiri.

Manir terletak diantara pekan Batu Enam dan Pusat Bandar Kuala Terengganu melalui jalan raya. Disebabkan kedudukannya yang di tengah-tengah kawasan penting ini, maka ia turut menerima banyak limpahan pembangunan.

Namun begitu, masalah kesesakan menjadi perkara utama yang harus diselesaikan oleh pihak berkenaan. Jalan raya dua lorong di Kg Pulau Rusa bertukar menjadi satu lorong ketika mahu memasuki Jambatan Manir adalah punca kesesakan ini terutama ketika waktu puncak. Cadangan untuk melebarkan jalan raya dan menambah lorong jambatan sebelum pilihan raya dahulu sehingga kini masih sepi tanpa sebarang perkembangan.